Friday, July 1, 2011

Siri Malas untuk update blog....


Assalamualaikum w.b.t....

Dah lama rasanya tak update blog ni. Kerja bersusun-susun elok je sekarang ni, jauh-jauh dari HQ pulak tu. Kepada yang email tu, terima kasih banyak-banyak lah. Ada yang aku dah bagi reply, ada yang aku belum sempat lagi.

Kerja sebagai surveyor ni macam ni lah. Kadang-kadang tu masa free memang terlampau banyak sampai dah tak tahu nak buat apa dan kadang-kadang tu pulak, memang tak ada masa free langsung. Maksud aku bukan tak ada langsung, tapi balik kerja dah lewat, badan penat, otak penat. Sampai rumah, rehat kejap. Malam karang sambung buat calculation atau drawing untuk kerja esok pulak. Kang kalau tak buat, tak jalan pulak kerja esok.

Jadi, kepada yang tanya macam-macam tu, maaf lah ye kalau aku tak reply apa-apa. Kalau nak cepat, macam student-student tanya untuk buat assignment ke, add Facebook aku macam yang kat tepi blog ni, lepas tu message je kat inbox. OK.

Nanti lain kali lah pulak aku update. Malas dah datang bertubi-tubi ni. Aku akhirkan entri siri malas ni dengan gambar pandangan depan dan pandangan belakang.


Bye,



Read more...

Tuesday, May 10, 2011

Datum dalam persekitaran eKadaster

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Seperti yang kita semua tahu, datum ni boleh kira sebagai salah satu perkara terpenting dalam sesuatu kerja ukur ni. Kalau salah pada datum, 100% kerja ukur yang ko buat tu akan salah, lebih ketara lagi untuk kerja-kerja ukur Kadaster ni. Kalau dulu, datum di kita selalu bayangkan bearing dan jarak sahaja tapi dengan terlaksananya eKadaster ni, ada sedikit pertambahan pada datum ni.

Pada persekitaran eKadaster ni, selain daripada bearing dan jarak, kodinat juga dititik beratkan. Bermakna, 3 perkara tu saling berkait. Kodinat yang diguna pakai pula bukan lagi Cassini Soldner yang lama, atau RSO yang lama, tapi telah diubah kepada GDM2000 (2009), RSO Geocentric dan CASSINI Geocentric.

Oh, sebelum aku tulis lebih lanjut, semua sumber ni aku dapat dari PKPUP 5 dan 6 tahun 2009 dan juga slide dariapda siapa aku tak sure sebab tiada nama. Rasanya daripada kakitangan JUPEM juga yang buat ni, aku dapat pun masa hadir ke kursus Aprisiasi Undang-Undang dan Peraturan Tanah yang LJT buat. Sekali lagi aku tegaskan, tujuan aku letak kat sini adalah untuk dikongsi bersama-sama dan rasanya memang tu pun tujuannya slide ni dibuat. KREDIT kepada orang yang buat slide ni, terutamanya gambar yang akan aku letak nanti. Terima kasih.

Kalau dilihat pada PKPUP 5 dan 6 tahun 2009, ada dinyatakan mengenai datum-datum ukuran ni. Ada beberapa jenis datum yang boleh diguna pakai untuk mulakan kerja ukur, namun, secara am nya ada 3 jenis datum iaitu, iaitu CRM dan juga NDCDB.

Pertama sekali, kita tengok yang datum daripada CRM ni. Dalam jenis datum ni, terbahagi kepada 5 jenis atau cara yang boleh digunakan. Sebelum itu, perlu di ingat, bila sebut je datum jenis CRM ni, ianya memerlukan penggunaan alat GPS, akaun untuk akses myRTKnet / server JUPEM atau akses kepada data Rinex atau VRS Rinex dan beberapa jenis output  fail yang terlibat dengan cerapan GPS ni. Untuk fail-fail tu, boleh rujuk di SINI.

DATUM 1

Dalam PKPUP, dia tulis macam ni ;

"Sekurang-kurangnya dua tanda CRM yang berjarak tidak kurang daripada 30 meter dibuat cerapan serentak dengan kaedah MyRTKnet bagi tanda pertama dan kaedah statik bagi tanda kedua; atau"


Gambar untuk penerangan kenyataan di atas ni macam ni.


Kalau dilihat pada datum jenis ni, jarak antara 2 tanda CRM yang kita buat tu ialah >30 meter. Senang, tak perlu jalan jauh-jaun antara 2 tanda CRM tu. Kalau tengok pada kaedah cerapan GPS, pada CRM 1, ianya menggunakan akses kepada myRTKnet, iaitu kita hubungkan GPS dengan server JUPEM untuk dapatkan pembetulan kedudukan secara Real-Time. Yang ni result dia kita terus boleh tengok samada pass atau fail selepas sahaja cerapan GPS dibuat.

Perlu di ingat, akses kepada myRTKnet ini memerlukan kita untuk buka akaun myRTKnet di JUPEM dengan bayaran, kalau tak silap aku RM1000 setahun.

Untuk CRM 2 pula, ianya dibuat cerapan secara static dimana ianya dibuat serentan dengan cerapan di CRM 1. Secara langsungnya, untuk kaedah ini, kita perlu guna 2 unit GPS secara serentak dan hasil pada cerapan statik pada CRM 2 ni kita betulkan guna data daripada CRM 1 tadi.

Lepas tu, macam biasa, dapat kodinat, terus boleh kita bearing dan jarak dia berapa, terus boleh pakai bearing dan jarak tu sebagai datum kerja.

Sattle datum 1, tengok pulak datum 2.

DATUM 2

Dalam PKPUP, dia tulis macam ni ;


"Sekurang-kurangnya dua tanda CRM yang berjarak tidak kurang daripada 30 meter dibuat cerapan serentak dengan kaedah statik bagi kedua-dua tanda." 


Gambar untuk penerangan kenyataan di atas ni macam ni.


Kaedah ni pun memerlukan kepada 2 unit GPS secara serentak dimana kedua-dua CRM 1 dan 2 ini dibuat cerapan statik secara serentak, bermaksud pada masa yang sama.

Hasil daripada 2 cerapan pada 2 tanda CRM ini kita betulkan guna data Rinex atau VRS Rinex yang kita boleh beli daripada JUPEM. Harga RM1 untuk 1 minit rasanya sekarang ni. Kalau dulu RM 15 per minit. Dah beli tu, buat post-process guna data Rinex atau VRS Rinex kepada data cerapan statik tadi.

Sattle datum 2, tengok pulak datum 3.

DATUM 3

Dalam PKPUP, dia tulis macam ni ;

"Sekurang-kurangnya dua tanda CRM baru yang berjarak tidak kurang daripada 30 meter dibuat cerapan dengan kaedah MyRTKnet bagi kedua-dua tanda dalam satu initialisasi. Proses yang sama perlu diulang dalam initialisasi kedua; atau "

Gambar untuk penerangan kenyataan di atas ni macam ni. 


Untuk kaedah ni, kita hanya perlu gunakan 1 unit GPS sahaja dan harus hubungkan ke server JUPEM (myRTKnet) untuk pembetulan secara on time / RTK. 

Syarat jarak untuk kaedah ini masih lagi > 30 meter. Kaedah ceparan dia lebih kurang macam ni. Dirisiapkan alat GPS pada CRM 1, connect ke JUPEM dan buat cerapan untuk initialisasi 1. Dah siap cerapan tu, jangan disconnect, pastikan connection ke server JUPEM tu tidak putus. Alihkan alat GPS tu dengan penuh cermat dan tatatertib ke CRM 2 pula. Ingat, connection ke JUPEM tak boleh putus sebab kalau putus tu, ianya dah dikira berlainan initialisasi. Dah siap dirisiap di CRM 2 tu, terus observe untuk initialisasi pertama di CRM 2 tu.

Ok, dah siap initialisasi pertama pada kedua-dua CRM tu, ulang langkah sama untuk initialisasi ke dua pula.

Sattle datum 3, tengok pulak datum 4.

DATUM 4

Dalam PKPUP, dia tulis macam ni ;

"Sekurang-kurangnya dua tanda CRM  yang berjarak tidak kurang daripada 75 meter dibuat cerapan dengan kaedah MyRTKnet masa hakiki bagi kedua-dua tanda dalam dua initialisasi; atau"

Gambar untuk penerangan kenyataan di atas ni macam ni. 


Dalam banyak-banyak kaedah macam kat atas tu, aku suka kaedah ini kut sebab senang, dan tak payah banyak-banayk kerja nak angkat GPS tu g sana sini, nak kena cermat-cermat lagi tak nak kasi connection putus.

Kalau dilihat, syarat jarak untuk kaedah ini dipanjangkan lagi iaitu kepada 75 meter. Kaedah yang digunakan pula agak senang. Caranya lebih kurang macam ni. Dirisiapkan alat GPS pada CRM 1, connect ke JUPEM dan buat cerapan RTK untuk set 1 dan 2 sampai siap. Dah siap tu, tengok result dia pass atau fail. Kalau fail, buat sekali lagi. Dah settle tu, buat pula cerapan static, sebagai backup atau check up data untuk JUPEM guna untuk check cerapan RTK yang kita buat tu.

Dah siap cerapan di CRM 2, disconnect connection tu dan alaih alat GPS ke CRM 2. Dirisiapkan cantik-cantik, connect ke JUPEM dan terus buat cerapan set 1 dan 2. Macam biasa, dah siap check samada pass atau fail dan buat cerapan static.

Siap kedua-dua tanda CRM tu, kira lah bearing jarak yang diperolehi hasil daripada kodinat CRM 1 dan CRM 2 yang kita cerap tadi dan guna bearing, jarak dan kodinat tu sebagai datum. 

Sattle datum 4, tengok pulak datum 5.

DATUM 5

Dalam PKPUP, dia tulis macam ni ;

"Sekiranya dua tanda CRM lama digunakan maka tanda-tanda tersebut hendaklah dibuktikan kedudukannya dengan tanda ketiga dengan ukuran sudut dan jarak sama ada dari CRM lama atau NDCDB berhampiran; atau"

Gambar untuk penerangan kenyataan di atas ni macam ni. 
























Kaedah ini ialah kita hanya gunakan tanda CRM yang dah sedia ada di sesuatu kawasan tu. Tu pun kalau ada lah. Kalautengok dalam Jupem2u tu, yang dah dilebel dengan CRM siap. Bila dah ada ni, kita terus je guna kodinat CRM tu, tapi sebelum tu kene jugaklah kita buat semakan, mana tahu tanda CRM tu dah lari dan tak boleh digunapakai lagi.

Kalau dah dibuktikan betul tu, boleh lah terus pakai bearing, jarak dan kodinat yang diperolehi daripada 2 CRM tu untuk datum kerja.

Tapi yang ni jarang-jarang sikit kut kita boleh jumpa sekarang ni. Mungkin dah lepas 3 4 tahun karang boleh lah guna cara ni sebab mungkin taburan CRM pada masa tu dah banyak kalau nak banding dnegan sekarang ni.

Sattle datum 5, tengok pulak datum 6.

Oh, sebelum tu, datum 1 hingga datum 5 ni lah yang menggunakan GPS dan CRM, manakala datum yang berikutnya gunakan NDCDB yang dah sedia ada.

DATUM 6

Dalam PKPUP, dia tulis macam ni ;

"Dua tanda ukuran dari NDCDB yang  berjarak tidak kurang daripada 40 meter yang mana kedudukan asal tanda-tanda tersebut telah dibuktikan dengan ukuran terus atau terabas dan hitungan, beserta dengan cerapan astronomi untuk azimut atau cerapan MyRTKnet; atau"

Gambar untuk penerangan kenyataan di atas ni macam ni. 


Cara kaedah ini ialah lebih kurang macam syarat datum lama yang pakai PA atau PDUK tu, cumanya ianya adalah berpandukan kepada kodinat NDCDB dan lot yang dah berNDCDB. Caranya sama je, jumpa 2 batu sempadan yang berNDCDB, kurang daripada 40 meter, buktikan batu tu masih lagi dalam kedudukan asal dan tak berganjak. Dah siap buktikan tu, buat cerapan matahari sekali atas garisan 2 batu tu.

Dah settle, terus buat kerja dan terus buat ikatan ke batu-batu yang kita jumpa. Tu cerita kalau yang kita buktikan bersama cerapan matahari.

Selain daripada buat cerapan matahari, kita juga boleh buktikan dengan buat cerapam GPS ala-ala CRM tadi tu. Caranya macam yang gambar ni tunjuk.


Sama je cara dia, jumpa 2 batu sempadan yang dah berNDCDB, buat je cerapan GPS atas batu tu. Semak hasil kodinat tu masuk atau tak. Kalau masuk, boleh terus buat kerja.

Tapi yang ni aku tak berani nak tulis banyak-banyak sebab apa yang aku pernah cuba buat, kodinat asal dari  NDCDB dengan kodinat hasil daripada cerapan GPS memang tak masuk. Aku tak tahu, jangan tanya aku ye.

Sattle datum 6, tengok pulak datum 7.

DATUM 7

Dalam PKPUP, dia tulis macam ni ;

"Dua tanda ukuran bersebelahan dari NDCDB yang diperakui kedudukannya dan dibuktikan dengan tanda ketiga dengan ukuran sudut dan jarak atau dengan terabas dan berada dalam kedudukan asal."

Gambar untuk penerangan kenyataan di atas ni macam ni. 


Kaedah datum yang ke 7 ni pulak lebih kurang je dengan datum ke 6 tadi tu, perlukan batu sempadan dan lot tu dah berstatus NDCDB, cuma, ianya perlu dibuktikan dengan tanda ke 3.

Maksudnya kat sini, kita dah jumpa 2 batu sempadan yang dah berNDCDB, guna bearing jarak tu, semak pula ke batu ke 3. Semak sudut dalaman yang diperolehi tu, kalau dalam had perbezaan yang dibenarkan, bolehlah ketiga-tiga tanda tu dibuat datum. Kalau dah lebih had tu, maknyanya batu tu dah tak berada dalam kedudukan asal. 

-TAMAT CERITA DATUM-

Dan, maka dengan itu, habis lah bab datum dalam persekitaran eKadaster yang macam dalam PKPUP 5 dan 6 tahun 2009. Kesimpulannya, kalau kawasan korang nak ukur tu tak ada lagi lot yang berstatus NDCDB, pakai lah kaedah datum 1 hingga 5 tu. Kalau lot tu dah berNDCDN atau dah ada lot berNDCDB dalam radius 300 meter dari lot yang korang nak ukur tu, pakai je kaedah datum 6 dan 7 tu.

Sekali lagi, aku kreditkan entri ni kepada orang yang buat slide show ni, aku pinjam gambar untuk senangkan penerangan. Terima kasih ye dan minta halalkan.

Ok, cukup setakat ini.
Bye.

Read more...

Thursday, May 5, 2011

Kitab rujukan Jurukur [Part II]

Assalamualaikum w.b.t

Ni antara buku-buku yang agak bagus untuk di baca untuk lebih faham lagi bidang ukur ni. Walaupun agak lama, tapi kalau tak tahu yang basic pun tak boleh jugak kan. Buku ni pun hadiah dari ayahanda aku masa mula-mula dapat masuk Politeknik dulu. Kadang-kadang agak terbiar, tapi masih lagi terjaga.

Kalau jumpa kat mana-mana kedai, jangan sayang duit lah nak beli buku ni, beli je. Paling kurang pun boleh buat rujukan. Kalau ada kawan-kawan yang ada ke, minta elok-elok, pinjam, g photostet mana-mana bab yang rasa di perlukan. Aku rasa buku ni bagus untuk student-student yang baru masuk Politeknik atau mana-mana Universiti atau Institusi yang belajar bidang Ukur Tanah ni untuk lebih faham apa yang korang bakal belajar dan lalui nanti. Nak buat rujukan untuk siapkan assignment pun boleh.

Macam yang aku tulis kat atas tadi tu, walaupun buku ni dah agak lama, tapi kandungan dan ilmu yang ada dalam buku tu tak kan luput tarikh punya. Buku ni penuh dengan asas-asas yang perlu diketahui oleh seseorang jurukur tu, tapi semuanya untuk fahaman cara kerja di padang je la. Ada penerangan cara kerja dan ada juga mengenai pengiraan-pengiraan yang bakal buat korang serabut kepala nanti.

Ha, ni lah antara buku-buku yang aku maksudkan kat atas ni.




Selain buku-buku yang macam ni, paling penting sekali, buku-buku modul yang dapat kat Politeknik @ Universiti tu yang penting sekali. Simpan la elok-elok. Aku dulu buku-buku modul masa kat Politeknik pun masih aku simpan elok-elok, walapun ada yang dah hilang atau penuh dengan conteng-conteng. Walaupun dah habis belajar dan dah kerja, akan ada satu masa tu korang perlukan sangat buku-buku ni untuk buat rujukan bila timbul masalah masa kerja karang.

Ok, dah cukup untuk malam ni.

Bye.
 

Read more...

Saturday, April 30, 2011

e-Kadaster : Submit CRM

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, fasa 1 dah lepas. Sekarang tengah cuba masuk fasa 2 pulak, file 16 ascii.



Penat jugak nak kasi settle benda ni. Benda baru katakan. Terima kasih kepada staf-staf JUPEM yang sudi tolong. Jasa baik anda akan terpaksa kami gunakan lagi di masa-masa akan datang.

Ok, bye.


Read more...

TOPCON Total Station Part IV : Data Collector

Assalamualaikum w.b.t.

Maaf, part I masih lagi belum boleh di release sebab belum habis tulis lagi. Ni pun langkah terus masuk part IV, iaitu pasal menu Data Collector dalam Total Station TOPCON ni.

Menu Data Collector ni gunanya ialah lebih-lebih lagi masa kita nak buat detail survey. Untuk buat traverse pun boleh je. Singkatnya, dengan guna Data Collector ni, kita dah tak perlu nak tulis booking secara manual. Masa tengah buat detail survey tu, data-data yang di cerap boleh terus disimpan dalam memori yang dah di binadalam Total Station ni.

Kesian wooo orang-orang ofis nak kena key-in satu-satu data-data detail / butiran yang kita ukur tu kalau tulis cara manual. Tempoh masa untuk proses data ukur tu pun jadi lama. Bila guna Data Collector ni, dah siap ukur tu, sambung cable download data dari Total Station ke laptop / PC, terus je download ke dalam laptop / PC. Dari situ, terus je boleh masuk CDS dan dah keluar dalam bentuk Electronik Stadia.

Lagi satu advantage bila pakai Data Collector ni, contohnya kalau kita buat kerja jauh dari ofis. Macam saya, HQ ofis di Kota Bharu, Kelantan dan kene buat kerja di Jerantut, Pahang. Kalau pakai booking tulis ni kan ke susah tu, nak kena pos laju lagi, tu pun dah ambil masa 2 3 hari nak sampai ke ofis. Dah sampai ofis tu, orang ofis pulak kena key-in satu-satu sampai bengkok jari (buatnya kene data detail jalan 10km....perghhhh). Makan 2 3 4 5 6 7 hari jugak tu nak key-in satu-satu.

Kalau pakai Data Collector ni, senang-senang je kita bawa je laptop ke site. Dah siap ukur dalam 20% tu kita dah boleh terus hantar data tu ke ofis, dengan hanya guna e-mail je. Pejam celik dah sampai ke ofis. Data tu pulak tak payah nak key-in satu-satu. Terus je proses dalam software Topcon (T-COM) dan terus buka dalam CDS.

Ni lah contoh manual yang aku cedok dari TOPCON training module. Dalam CD TOPCON pun ada rasanya.





Nak sedut yang full .pdf punya boleh sedut dari sini :


Serius cakap, kalau ko betul-betul mahir pakai program ni, mesti bos ko automatik jadi sayang sangat-sangat kat ko. Performance mesti naik canak-canak punya. Bila preformance naik canak-canak tu, Insyallah gaji pun akan naik canak-canak jugak.

Hehehehehe....

[Sumber dan gambar dari Manual GPT-3005W Quick Training]

Ok, bye.


Read more...

Wednesday, April 27, 2011

Kitab rujukan Jurukur.....

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Malam ini adalah malam marathon entri dan disudahi dengan entri ini.

Kepada mana-mana student yang baru grad, bakal grad atau masih belajar lagi, ini adalah kitab yang anda harus khatam untuk menempuh hidup sebagai seorang jurukur pada zaman ini, nak-nak lagi yang baru grad dan ada cita-cita nak masuk kerja dengan Jurukur Berlesen.

Tidak lupa juga kepada yang dah berkecimpung dalam Jurukur Berlesen ni, bolehlah juga rujuk kitab ni.

Ini adalah antara kitab-kitab yang penting untuk dikahatamkan.


Klik sini untuk lebih lanjut.


Klik sini untuk lebih lanjut.

Ok, cukup untuk malam ni.

Bye.


Read more...

Semak cara kerja untuk e-Kadaster.

Assalamualaikum w.b.t.

Terus kepada tajuk entri, entri ini sebenarnya bermaksud macam mana kita nak tahu samada lot yang kita nak ukur tu sudah berstatus NDCDB atau tak, dan jika bukan berstatus NDCDB, ada tak lot NDCDB berdekatan dalam radius 300m. Jika tiada lot juga berdekatan dalam radius 300m yang sudah berNDCDB, maka CRM perlu dibuat terlebih dahulu.

Sebab tu cara semak tu penting. Antara sebabnya ialah :
  1. Kalau lot tu dah berNDCDB ataupun masih belum berNDCDB tapi lot-lot sekitar dalam radius 300m sudah berNDCDB, maka tak perlulah kita buat CRM dan ikat kepada batu sempadan. Boleh guna cara datum NDCDB.
  2. Masih lagi rujuk pada No.1, kita juga boleh kesan no. lot sekitar yang dah berNDCDB dan tahu PA mana yang perlu kita rujuk dan catatkan nilai-nilai kodinat NDCDB tersebut.
  3. Kalau lot tu belum lagi berstatus NDCDB, maka persediaan untuk membuat cerapan GPS untuk CRM perlu dibuat.
Sebelum tu, rujuk pada entri INI untuk lebih faham.

Nak senang untuk kesan status dia, serach je no.lot yang nak ukur tu. Masukkan maklumat-maklumat yang sistem tu nak macam no.lot, daerah, mukim dan sebagainya dan klik Lot. REsult yang dia paparkan tu, tengok bahagian status samada dah berNDCDB atau tak. 

Tapi guna cara ni kalau lot tu belum berNDCDB tu kita tak boleh nak tengok kalau-kalau lot sebelah ada yang dah berstatus NDCDB atau tak dan berapa jauh lot tu dari lot yang kita nak ukur.

Jadi, apa yang aku buat ialah, tengok nilai kodinat batu lot yang kita nak ukur tu dulu. Perlu ingat kat sini, kodinat dalam Pelan Akui ialah dalam Cassini Sold atau RSO atau ling. Tahu 1 kodinat batu pun dah cukup. Jadi, kalau aku rajin tengah cergas tu, aku convertkan dulu kodinat tu ke Cassini Geocentric sebab NDCDB pakai sistem kodinat ni.

Dah dapat kodinat tu, aku search kodinat tu dan tengok dia jatuh kat mana. Untuk search, masukkan nilai E dulu, baru N. Macam AutoCAD jugak la. Agak-agak dia jatuh kat tempat kosong je tu, maknanya tak ada NDCDB la tu. Klau point tu jatuh kat tempat kosong tapi kat tepi-tepi dia ada lot-lot tu, maknanya sekeliling lot tu dah berstatus NDCDB.

Lepas tu, semak je lah berapa jarak lot yang dah berNDCDB tu ke lot yang kita nak ukur. Macam ni gambar dia lebih kurang.




Titik hitam tu ialah kodinat yang aku search kedudukan dia tu. Jadi, lot yang aku nak ukur jatuh lebih kurang kat situ. Kalau tengok pada gambar tu, lot yang aku nak ukur tu masih lagi belum berNDCDB, tapi lot-lot sekeliling dia tu ada yang dah berstatus NDCDB.

Lepas check jarak lot-lot sebelah yang dah berNDCDB tu ke lot yang aku nak ukur tu, ianya dalam radius 300m dan makanya....................pening kepala la aku lepas ni.

Ok, bye.



Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...